+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Masjid di Karaköy yang Menyimpan Kisah Lama

Saya berjalan dari stesen tram Karaköy menuju ke arah Golden Horn ketika saya ternampak satu lorong sunyi yang sedikit tersorok dari kawasan kedai-kedai yang menjual barang-barang hardware.

Semakin saya melangkah masuk, bunyi kereta mula hilang dan sebuah bangunan kayu muncul di antara bangunan lain. Pada mulanya saya sangka ini gudang lama atau dewan kecil yang ditinggalkan, tetapi bila saya datang lebih dekat, rupanya inilah Arap Camii

Reka bentuknya sangat berbeza daripada mana-mana masjid yang pernah saya lawati di Istanbul. Kerangka kayu yang tinggi dan bentuknya yang panjang membuatkan saya rasa bangunan ini menyimpan sejarah yang jauh lebih tua daripada zaman Uthmaniyah. Berdiri di pintu masuk, saya seakan-akan menemui tempat yang sudah bertukar identiti berkali-kali sejak zaman Byzantine.

Kebanyakan kita mengenali Istanbul melalui masjid-masjid Uthmaniyah dengan kubah besar dan menara yang anggun. Arap Camii tidak seperti itu. Bila saya melangkah masuk, ruang dewan yang panjang, tiang kayu, dan tingkap tinggi bergaya Gothic membuatkan saya berhenti sebentar. Ia kelihatan lebih seperti gereja zaman pertengahan di Eropah daripada masjid klasik di sekitarnya. 

Sebenarnya, tanggapan saya tepat. Tempat ini bermula sebagai gereja Byzantine, kemudian menjadi gereja yang lebih besar dibina oleh sami Dominican yang tinggal di kawasan Genoa lama di Galata.

Ia pernah dikenali sebagai gereja Saint Paul dan Saint Dominic. Pada waktu itu, kawasan Karaköy dipenuhi dengan pedagang Itali yang membina gereja, gudang, dan kubu. Arap Camii adalah salah satu tinggalan unik dari zaman itu.

Apabila Uthmaniyah menawan Konstantinopel pada tahun 1453, mereka membenarkan komuniti Genoa untuk kekal buat sementara waktu. Gereja mereka masih digunakan, tetapi lama kelamaan, suasana bandar berubah.

Pada zaman Sultan Mehmed II (al-Fatih), gereja ini ditukar menjadi masjid. Kemudian ia dikenali sebagai masjid utama Galata, melayani penduduk Muslim yang semakin ramai di kawasan ini.

Proses perubahannya tidak berlaku dalam sehari. Unsur-unsur baru seperti mihrab dan mimbar ditambah, sementara struktur kayu tinggi yang asal masih dikekalkan. Itulah sebabnya bangunan ini terasa seperti dua dunia bertemu. Jiwanya seperti gereja, tetapi fungsinya sebagai masjid kekal jelas.

Nama Arap Camii sering membuat pelawat tertanya-tanya. Ada kisah popular yang mengatakan tentera Arab pernah solat di sini ketika pengepungan Konstantinopel pada abad ke-8, dan bahawa inilah masjid pertama di kota ini. Cerita itu memang menarik, tetapi ahli sejarah menganggapnya kurang tepat. 

Sebenarnya selepas kejatuhan Andalusia pada tahun 1492, ramai Muslim Sepanyol melarikan diri daripada tekanan dan penyiksaan Inkuisisi Sepanyol. Empayar Uthmaniyah menerima mereka dan menempatkan sebahagian daripada keluarga keluarga ini di kawasan Galata.

Mereka solat di sini, membina kehidupan di sini, dan menjadi sebahagian daripada masyarakat setempat. Kehadiran mereka dipercayai menjadi sebab masjid ini digelar Arap Camii. Nama ini sebenarnya menghormati komuniti pelarian yang pernah menemui keselamatan di kota ini.

Arap Camii bukanlah masjid paling terkenal di Istanbul, tetapi ia salah satu yang paling unik. Ia membawa kisah penghijrahan, kelangsungan hidup, dan perubahan dari satu zaman ke satu zaman. Ia menunjukkan bagaimana Istanbul terus berkembang tanpa memadamkan sejarah lamanya.

Jika anda berjalan dari Karaköy menuju Haliç, cuba masuk ke lorong kecil di sisi jalan dan singgah di masjid ini. Tempatnya tenang dan penuh sejarah, menghubungkan zaman Byzantine, Latin, dan Uthmaniyah dalam satu bangunan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED