+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Kos Sara Hidup Di Türkiye Terus Meningkat Dan Kenaikan Gaji Minimum Baharu

Oktober lepas, saya ada menulis tentang hiperinflasi di Turkiye dan apa yang boleh kita pelajari sebagai rakyat Malaysia. Saya tidak menjangkakan artikel tersebut akan mencecah berpuluh ribu views dan lebih seratus lebih perkongsian. Ramai pembaca berkongsi kebimbangan tentang masa depan ekonomi kita, nilai mata wang dan bagaimana inflasi memberi kesan kepada kehidupan harian.

Menurut laporan dari media antarabangsa pada awal November 2025, kadar inflasi tahunan di Turkiye telah menurun sedikit di bawah 33%. Penurunan ini menunjukkan sedikit kelegaan berbanding tahun lepas pada 44%, tetapi angka 33% tetap sangat tinggi jika dibandingkan dengan standard antarabangsa. Kadar ini sudah cukup menjelaskan mengapa harga makanan, utiliti dan kos hidup harian meningkat dengan mendadak.

Kini kita menghampiri penghujung tahun 2025, data terbaru dari Türkiye menunjukkan realiti yang masih belum stabil. Situasi ini memberi gambaran jelas tentang apa yang berlaku apabila kadar harga naik lebih cepat daripada kenaikan gaji.

Laporan terbaru TÜRK-İŞ (Gabungan Kesatuan Pekerja di Türkiye) bagi bulan November menunjukkan bahawa sebuah keluarga empat orang di Türkiye memerlukan sekitar 29,828 TL (RM 2,900) setiap bulan untuk menampung keperluan makanan asas.

Namun bayaran gaji minimum ketika ini hanyalah 22,104 TL (RM 2,150). Ini bermakna pekerja bergaji minimum tidak mampu menampung kos makanan asas keluarga mereka, dengan defisit lebih 7,700 TL (RM 750) setiap bulan.

Kos sara hidup penuh untuk sebuah keluarga empat orang termasuk makanan, sewa rumah, bil utiliti, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan keperluan lain telah mencecah 97,159 TL (RM 9,450). Bagi individu bujang pula, kos hidup bulanan yang selesa dianggarkan sekitar 38,752 TL (RM 3,770).

Pakar ekonomi meramalkan kerajaan Turkiye akan menaikkan gaji minimum kepada sekitar 28,500 TL (RM 2,780) tahun depan. Secara kasar ia kelihatan seperti peningkatan yang besar, tetapi apabila dibandingkan dengan kos sebenar, jurangnya tetap ketara.

Dengan gaji minimum 28,500 TL:

• Jumlah ini masih tidak mencapai keperluan makanan asas bagi keluarga empat orang

• Jumlah ini hanya menampung sekitar 29 peratus daripada keseluruhan kos sara hidup keluarga

• Jumlah ini juga masih lebih rendah daripada kos hidup seorang individu bujang

Jika kos sara hidup meningkat lagi sepuluh peratus pada tahun hadapan, sesuatu yang besar kemungkinan akan berlaku:

• Kos makanan asas untuk keluarga empat orang akan melebihi 32,800 TL (RM 3,100)

• Kos sara hidup penuh keluarga akan naik lebih 106,000 TL (RM 10,300)

• Kos hidup individu bujang akan melebihi 42,600 TL (RM 4,150)

Dalam keadaan ini, gaji minimum baru masih tidak mampu menampung keperluan asas seorang individu, apatah lagi sebuah keluarga. Kenaikan gaji tidak mampu mengejar kenaikan harga.

Situasi di Turkiye menjadi contoh sebenar bagaimana kehidupan rakyat berubah apabila harga naik tanpa kawalan. Rakyat tidak merasai angka rasmi yang diumumkan setiap bulan. Mereka merasai harga sayur-sayuran, roti, susu, sewa rumah, tambang pengangkutan dan bil elektrik yang semakin tinggi.

Apabila harga naik lebih laju daripada gaji, rakyat akan rasa terbeban. Untuk pulih semula memerlukan masa yang lama. Kenaikan gaji membantu sedikit, tetapi ia tidak mencukupi kalau kadar inflasi terus tinggi. Jika dasar kewangan tidak stabil, peningkatan gaji minimum akan menjadi usaha yang sia-sia kerana kenaikan harga akan terus memakan kuasa membeli rakyat.

Menjelang tahun baru yang makin hampir, ini masa yang baik untuk kita lebih peka terhadap perkembangan antarabangsa. Pengalaman Turkiye menunjukkan bahawa kos sara hidup boleh meningkat dengan cepat apabila inflasi tidak terkawal. Belajar daripada keadaan negara lain memberi kita peluang untuk lebih bersedia menghadapi masa depan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED