+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Jejak Cinta Seorang Sultan Untuk Putera Yang Pergi Terlalu Awal

Petang itu saya berjalan pulang dari Grand Bazaar. Jalan menuju Vezneciler lengang dengan angin yang bergerak lembut di celah bangunan. Ketika saya menghampiri stesen bas Vezneciler, mata saya tertarik kepada sebuah masjid yang berdiri megah di tepi jalan. 

Itulah Masjid Şehzade, masjid yang dibina bukan untuk meraikan kemenangan tetapi untuk meratapi sebuah kehilangan. Semakin saya berdiri di situ, semakin saya terasa seperti tempat ini sedang memanggil untuk didengar kisahnya.

Masjid ini dibina oleh Sultan Suleiman I (Suleiman the Magnificient) sebagai memorial untuk puteranya, Şehzade Mehmed, yang meninggal dunia pada tahun 1543 akibat penyakit cacar.

Mehmed ialah putera yang disayangi dan dianggap sebagai pewaris paling ideal dalam keluarga diraja. Kematian seorang putera dalam empayar besar Uthmaniyah adalah tragedi politik, tetapi bagi seorang ayah, ia lebih daripada itu.

Kesedihan baginda bukan hanya tersimpan dalam catatan sejarah tetapi turut diabadikan melalui seni sastera. Penyair istana, Baki, menulis sebuah mersiye untuk mengenang putera ini. Perkataan mersiye merujuk kepada puisi yang ditulis khusus untuk meratapi atau mengenang seseorang yang telah meninggal dunia, biasanya tokoh penting atau insan yang amat disayangi.

Antara bait paling dikenang berbunyi:

Petikan asli

Gitti meh, oldu siyah gün, çehre i alem kara

Mahrum kaldı cihan sensiz, yandı ciğer pare pare.”

Terjemahan Melayu

“Bulan telah pergi, hari menjadi gelap, wajah dunia menjadi suram

Seluruh alam merasakan kehilanganmu, hati hangus menjadi debu.”

Sultan Suleiman memerintahkan arkitek terhebat Uthmaniyah, Mimar Sinan, untuk membina masjid sebagai tanda cinta kepada puteranya. Masjid ini memiliki struktur yang seimbang, tidak terlalu megah namun sangat anggun. Ia memberi rasa damai kepada sesiapa yang memandangnya.

Di halaman masjid terdapat makam Şehzade Mehmed, struktur lapan penjuru dengan ukiran yang teliti. Batu nisannya berada di tengah ruang yang penuh cahaya. Setiap kali seseorang melangkah ke situ, mereka dapat merasakan ketenangan yang dicipta untuk menghiburkan hati seorang ayah yang sedang berkabung.

Ramai pelancong berjalan tanpa mengetahui bahawa masjid di hadapan mereka dibina kerana rasa cinta yang begitu dalam. Ia bukan sekadar tempat ibadah. Ia adalah hati seorang ayah yang telah diukir menjadi batu dan kubah supaya dunia tidak melupakan puteranya.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED