+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Nikmati Pagi di Sarayburnu Dengan Turkish Breakfast dan Lawatan Santai

Pagi di Istanbul sentiasa ada magisnya. Angin dari Selat Bosphorus berhembus lembut dan dingin, membawa bunyi burung camar dan hon feri yang baru tiba dari Üsküdar. Hari itu, saya menuju ke Sarayburnu Aile Çay Bahçesi, satu restoran yang terletak betul-betul di hujung semenanjung bersejarah Istanbul, tempat terbaik untuk melihat matahari naik dari arah Asia.

Untuk ke sini tak susah pun. Dari mana-mana laluan tram utama, cukup turun di stesen tram Gülhane, kemudian berjalan lebih kurang sepuluh minit menuruni jalan ke arah laut. Sepanjang jalan melalui Gülhane Park, pokok-pokok tinggi menaungi laluan batu lama yang dah menyaksikan ribuan langkah pelancong, pasangan tua, dan orang tempatan yang sekadar mahu minum teh sambil melihat kapal lalu. Kalau datang pada bulan April, boleh berjalan sambil bergambar di samping bunga-bunga tulip yang berbagai warna.

Sampai saja di sana, saya terus pesan Turkish breakfast. Sambil menunggu, saya perhatikan suasana sekeliling. Ada keluarga yang bawa anak kecil, ada pasangan muda yang duduk senyap menikmati pemandangan, dan pelancong yang sedang bergambar.

Apa yang membuat Turkish breakfast di sini terasa begitu istimewa ialah cara setiap hidangan seolah memanggil kita untuk makan dengan perlahan dan menikmati pagi tersebut. Roti yang baru keluar dari oven masih hangat ketika disentuh, lembut di dalam dengan kerak nipis yang rangup. Atas meja, pelayan letakkan beberapa jenis sapuan seperti bal (madu), reçel (jem buah), tahin pekmez (tahini dan sirap anggur), dan sedikit kaymak (krim susu pekat) yang lembut seperti awan. Keju putih atau beyaz peynir memberi rasa masin sederhana yang seimbang dengan kemanisan jem aprikot. Zaitun hitam atau siyah zeytin pula memberi rasa pahit ringan yang membuka selera.

Selepas sarapan, kita boleh berjalan kaki sedikit ke Sarayburnu Arkeopark, sebuah kawasan kecil di tepi jalan yang ramai pelancong tak perasan. Di sinilah tersimpan sisa-sisa pelabuhan lama Byzantine dan tembok purba yang suatu ketika dulu menjadi pintu masuk penting ke Constantinople. Sebahagian daripada penemuan ini sebenarnya ditemui secara tidak sengaja semasa kerja penggalian projek Marmaray Line, terowong kereta api bawah laut yang menghubungkan Eropah dan Asia. Kini kawasan ini dijadikan taman arkeologi terbuka.

Berjalan sedikit ke hadapan, kita akan sampai ke Sarayburnu Park, taman kecil yang dipenuhi pokok besar dan bangku kayu menghadap laut. Dari sini, pemandangan ke arah Jambatan Galata dan Topkapi Palace memang menenangkan. Kadang-kadang ada penjual jagung dan simit bergerak, menjadikan suasana petang di sini terasa seperti babak filem lama Turki.

Dan kalau masih ada masa sebelum senja, teruskan langkah naik semula ke Gülhane Park, taman bersejarah yang dulunya merupakan sebahagian kawasan istana Topkapi. Di sinilah kita boleh akhiri hari, duduk di bawah pokok besar sambil minum teh terakhir, mendengar suara burung yang pulang ke sarang.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED