+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Mengapa Istanbul Terus Memikat Dunia

Beberapa hari lepas saya ada terbaca satu berita menarik: Istanbul dinobatkan sebagai “Europe’s Most Desirable City” oleh Wanderlust Travel Awards. Dan entah kenapa, saya tidak terkejut langsung.

Bangga, ya. Kagum, ya.

Tapi terkejut? Tidak sama sekali.

Sebabnya setiap hari, sejak pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini, saya sudah dapat rasa Istanbul memang memiliki sesuatu yang sukar dicari di mana-mana kota lain. Sesuatu yang hidup, sentiasa bergerak, mencantumkan masa silam dengan masa depan, seakan-akan seluruh dunia bertemu di satu titik yang sama.

Bila orang cakap Istanbul berada di antara Asia dan Eropah, sebenarnya itu hanya separuh cerita. Yang membuat Istanbul benar-benar unik bukan sekadar lokasinya, tetapi kehidupan yang bernafas di dalamnya.

Istanbul bukan hanya tentang pelancong dan tempat tarikan di Instagram. Ini kota yang dibentuk oleh pelbagai komuniti sejak ratusan tahun. Ada Greek, Armenian, Jewish, Assyrian. Ada juga komuniti Arab dan Kurdish.

Dan kini semakin ramai pelajar antarabangsa, ekspatriat, digital nomad – termasuk saya sendiri, yang selalu merasa seperti ‘orang asing yang diterima’.

Kadang-kadang, dalam satu perjalanan tram, saya dengar empat bahasa berbeza. Dari bahasa Turki sendiri, ke Arabic, ke Russian, dan entah satu lagi yang saya tak kenal, mungkin Danish.

Makanan pula… jangan sebutlah. Dari Turkish breakfast ke fusion modern, dari kedai keluarga kecil ke restoran fine dining yang masuk Michelin Guide, semuanya wujud dalam satu kota. Kedai makan Asia terutamanya Uyghur dan Indonesia juga makin banyak di sana.

Pagi-pagi saya boleh minum çay di kedai kopi kecil yang sudah wujud lebih seratus tahun. Langit masih sejuk, bau roti simit masih hangat. Tapi beberapa minit kemudian, saya boleh duduk di kafe hipster minimalis yang terasa seperti di Berlin atau London, dengan barista muda yang bercakap bahasa Inggeris fasih.

Moden Türkiye bergerak laju. Setiap tahun ada laluan metro baru dibuka, kawasan baru, sistem digital baru. Apa saja boleh dibuat dari telefon – dari hospital appointments sampai semua urusan melibatkan kerajaan. Dan saya sebagai orang luar, selalu kagum betapa canggihnya sistem di sini.

Tapi untuk berlaku jujur, Istanbul bukan kota sempurna. Pelancong terlalu ramai. Harga rumah naik. Kawasan tradisi berubah identiti.

Kadang-kadang saya rasa Istanbul pun letih mengejar populariti. Namun inilah realiti sebuah kota global. Dan saya selalu percaya untuk mencintai Istanbul, kita mesti menghargai kecantikannya dan menerima kekurangannya.

Apabila Istanbul menang anugerah kota paling diingini di Eropah, ia bukan sekadar kemenangan pelancongan. Ia adalah tanda bahawa Turki semakin diterima sebagai pusat budaya, seni, teknologi, dan kreativiti.

Saya sendiri berubah banyak selepas datang ke sini. Saya belajar bahawa identiti bukan sesuatu yang kaku. Ia boleh bergabung, berkembang, dan menjadi lebih kaya apabila kita membuka diri pada dunia. Di sini, saya belajar bahawa manusia boleh hidup di antara budaya, di antara benua, di antara harapan dan realiti… dan tetap menjadi diri sendiri.

Dan mungkin, itulah sebab sebenar Istanbul menjadi kota paling diingini di Eropah: bukan kerana bangunannya, bukan kerana makanannya tetapi kerana ia menunjukkan kepada dunia bahawa perbezaan boleh menjadi kekuatan, dan kepelbagaian boleh menjadi keindahan.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED