+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Istanbul Darul Scammer (Part 3: Top-Up Istanbulkart)

Kalau sebelum ni saya dah cerita pasal taxi scam dan hotel scam, kali ni kita sambung satu lagi – scam top-up Istanbulkart. Ramai pelancong dah kena sebab nampak “orang baik” yang kononnya nak tolong topup kad.

Ini kisah yang dikongsi baru-baru ni:

Kami di Sultanahmet nak naik tram, jadi masa tu kami beli Istanbulkart dari mesin dan terus sambung nak tambah nilai. Di belakang ada seorang lelaki tempatan datang tolong. Masa proses tu, lelaki yang “tolong” tu tiba-tiba tekan jumlah 999 lira (tanpa tanya saya dulu — red flag!).

Saya husnuzon mungkin dia ingat saya akan duduk lama di Istanbul, jadi jumlah tu okayla. Tapi lepas kejadian ni baru saya tahu, had maksimum top-up cuma sekitar 500 lira saja. Jadi pelik juga macam mana dia boleh masukkan jumlah besar tu.

Semuanya nampak berjalan melalui mesin, jadi kami tak rasa curiga masa tu. Tapi bila fikir balik, besar kemungkinan dia sempat tukar kad masa proses tu, dan kad yang kami bawa cuma ada baki kecil, manakala kad yang penuh nilai tu dia dah ambil. Kami bayar pakai kredit kad, jadi bila cek balik, memang ada dua kali transaction.

Kat mana biasa jadi?

Kalau tengok corak yang sama dari pelancong lain, scam ni biasanya berlaku di tempat yang sibuk dan penuh pelancong. Scammer akan pilih lokasi yang ramai orang tunggu tren, keliru dengan mesin, atau baru pertama kali guna Istanbulkart.

Tempat panas (hotspot) yang sering disebut:

Stesen tram Sultanahmet & Eminönü

Stesen metro Taksim & Gayrettepe

Terminal feri Kadıköy dan Üsküdar

Cara nak elak

Scam ni mudah dielak sebenarnya, asalkan kita berhati-hati dan jangan mudah percaya. Ramai pelancong Malaysia terperangkap sebab kita terlalu peramah dan mesra dengan orang luar. Tapi ingat – kalau dia betul-betul nak bantu, dia takkan sentuh kad atau duit kita.

Langkah mudah untuk elak:

1. Jangan terima bantuan orang tak dikenali. Cakap je “no thank you” dengan senyuman.

2. Top-up sendiri dekat mesin rasmi atau kaunter dalam stesen.

3. Jangan bagi kad atau duit tunai kepada sesiapa.

4. Perhatikan skrin. Pastikan jumlah yang keluar sama dengan duit yang kita masukkan, dan tunggu mesej “top-up successful”.

5. Kalau rasa pelik atau tergesa-gesa, berhenti. Ambil kad, beredar, dan guna mesin lain.

Cara top-up Istanbulkart sendiri

1. Tekan bahasa English pada skrin.

2. Letak kad atas sensor (akan keluar baki semasa).

3. Pilih “Top-up / Yükle”.

4. Masukkan duit bila keluar lampu hijau di acceptor

5. Tunggu sampai skrin tunjuk baki baru, baru ambil kad balik.

Istanbul memang kota yang indah, tapi seperti mana-mana bandar besar lain, sentiasa ada yang cuba ambil kesempatan.

Jadi, kalau anda datang ke sini nanti, buat semua urusan sendiri, berhati-hati, dan jangan takut untuk kata “no thank you.” Lebih baik nampak sombong, daripada menyesal kemudian hari.

Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED